Cristiano Ronaldo Mengaku Bersalah Kerana Menipu Semasa di Real Madrid

Pemain bola sepak terkenal dunia, Cristiano Ronaldo telah mengaku bersalah terhadap kesalahan penipuan cukai sewaktu bersama Real Madrid, lapor Astro Awani.

Mahkamah walaubagaimanapun telah membenarkan penangguhan hukuman penjara dua tahun terhadap Ronaldo susulan pengakuan tersebut.

Pesalah buat pertama kali di  negara Sepanyol dibenarkan untuk menangguh hukuman sehingga dua tahun atau kurang daripada itu.

Pemain ‘striker’ Juventus itu turut dilaporkan menandatangani perjanjian pembayaran denda berjumlah USD21.6 juta iaitu kira-kira RM89.3 juta.

Ronaldo dituduh melakukan kesalahan penipuan cukai pada tahun 2017, melibatkan empat akaun berlainan antara tahun 2011 hingga 2014 dengan jumlah USD16.7 juta (RM69.1 juta).

Ronaldo dituduh menggunakan syarikat pengeluar minyak di luar Sepanyol untuk menyembunyikan pendapatan yang diterimanya.

Cristiano Ronaldo dos Santos Aveiro lahir pada 5 Februari 1985 merupakan seorang pemain bola sepak profesional dari Portugal yang bermain di posisi penyerang untuk kelab bola sepak Juventus.

Ronaldo selalu disebut-sebut sebagai pemain terbaik sepanjang zaman dan telah dianugerahkan FIFA Ballon d’Or sebanyak lima kali.

Ronaldo merupakan pemain terbanyak yang memenangi anugerah ini dan juga pemain pertama dalam sejarah bola sepak yang memenangi anugerah Kasut Emas Eropah sebanyak empat kali.

Sepanjang kariernya, Ronaldo telah memenangi 22 buah trofi kejuaraan, termasuklah lima kejuaraan liga domestik, empat kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA dan sebuah trofi kejuaraan Piala Eropah UEFA.

Sebagai seorang penyerang yang berbisa, Ronaldo memegang rekod penjaring gol terbanyak dalam lima buah liga domestik di Eropah teratas sebanyak 369 gol, dalam kesemua perlawanan Liga Juara-Juara UEFA sebanyak 105 gol dan dalam kejuaraan UEFA EURO sebanyak 29 gol.

Ronaldo telah menjaringkan sejumlah lebih 600 gol untuk pasukan kelab dan kebangsaan.

Ronaldo dilahirkan dan dibesarkan di Santo António, Madeira dan pada usia mudanya beliau didiagnosa dengan penyakit takikardia semasa berumur 15 tahun.

Ronaldo kemudian dirawat dengan prosedur pembedahan dan memulakan karier seniornya dengan menyertai kelab Sporting CP, sebelum menyertai kelab Manchester United semasa beliau berusia 18 tahun pada tahun 2003.

Selepas memenangi trofi pertamanya iaitu Piala FA pada musim pertama di England, Ronaldo membantu pasukan United memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris berturut-turut, satu kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA dan sebuah trofi Piala Kelab Dunia FIFA.

Semasa berumur 22 tahun, Ronaldo telah dicalonkan untuk anugerah Ballon d’Or dan Pemain Terbaik Dunia FIFA dan memenangi kedua-dua anugerah ini pada umur 23 tahun.

Pada tahun 2009 pula, Ronaldo menandatangi kontrak bersama kelab Real Madrid di Sepanyol dengan rekod perpindahan termahal dunia pada ketika itu dengan harga sekitar €80 juta.

Leave a Comment